Kesan Darurat
- Kesan darurat terbahagi kepada 3 iaitu : Kesan Politik, Kesan Ekonomi dan Kesan Sosial
1.
Kesan Politik
(a)
Kerajaan British telah membuat keputusan untuk mempercepatkan pemberian
kemerdekaan kepada Tanah Melayu kerana kerajaan mendapati rakyat Tanah Melayu
semakin menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran British. Selain
itu, kerajaan juga ingin mendapat sokongan rakyat supaya tidak memihak kepada
komunis. Perikatan UMNO-MCA di bawah pimpinan Tunku Abd. Rahman memainkan
peranan yang penting dalam proses mencapai kemerdekaan. Hasil rundingan di
London, Tanah Melayu diberi kemerdekaan pada tahun 1957.
(b)
Pengisytiharan darurat menyebabkan aktiviti politik di Tanah Melayu
tergendala terutamanya dari parti politik berhaluan kiri. Parti-parti politik
berhaluan kiri yang dilihat bersimpati dengan PKM telah diharamkan oleh
kerajaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar
(AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan MDU. Manakala pemimipin-pemimpinnya
pula ditangkap dan dipenjarakan seperti Ahmad Boestaman dan Ishak Hj. Muhammad.
Terdapat juga parti-parti politik yang bersifat sederhana terpaksa dibubarkan
akibat tekanan daripada kerajaan British. Contohnya, sebilangan besar pemimpin
Hizbul Muslimin yang berpusat di Gunung Semanggol ditangkap oleh kerajaan
British dengan menggunakan peruntukkan di bawah Undang-undang Darurat, 1948.
Namum, kerajaan British masih lagi membenarkan parti politik berhaluan
sederhana seperti UMNO, MCA dan MIC meneruskan kegiatan mereka.
(c)
Pada tahun 1949, pemimpin-pemimpin orang Cina dalam Majlis Perundangan
Persekutuan terutamanya Datuk Tan Cheng Lock telah memainkan peranan penting
dalam penubuhkan Malayan Chinese Association (MCA) pada tahun 1949. Tujuan
penubuhan MCA adalah untuk membuktikan bahawa bukan semua orang Cina menyokong
PKM. Penubuhan MCA ini telah dapat mengubah sikap orang Cina terhadap ideologi
komunisme dan mereka telah menyokong kerajaan serta banyak membantu kerajaan
dari segi memberi pertolongan kepada setinggan-setinggan yang dipindahkan ke
kampung-kampung baru.
(d)
Kerajaan British juga telah mengambil beberapa langkah iaitu mengadakan
Pilihan Raya Perbandaran George Town di Pulau Pinang (1951), Pilihan Raya
Perbandaran Kuala Lumpur (1952) dan pilihan raya Persekutuan (1955). Dalam
pilihan raya Persekutuan, perikatan UMNO-MCA-MIC membentuk kerajaan apabila
memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan tersebut
mengambarkan rakyat Tanah Melayu telah bersedia untuk merdeka. Kerajaan British
telah memulakan rundingan kemerdekaan dan akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada tahun 1957.
(e)
Sistem Ahli juga telah diperkenalkan pada tahun 1951-1952 oleh British
sebagai langkah kearah berkerajaan sendiri. Ahli-ahli dipilih daripada pelbagai
kaum bertujuan untuk mewujudkan kerjasama daripada pelbagai kaum. Melalui
Sistem Ahli mereka diberi tanggungjawab
dalam jabatan pentadbiran sebagai persediaan untuk berkerajaan sendiri.
(f)
Darurat juga telah menyebabkan Persekutuan Tanah Melayu terpaksa
menandatangani satu perjanjian pertahanan dengan kerajaan Inggeris selepas
merdeka. Perjanjian pertahanan ini perlu kerana
Persekutuan Tanah Melayu tidak mempunyai kekuatan tentera yang cukup
untuk menentang komunis. Perjanjian pertahanan ini telah menyebabkan wujudnya
kecaman dan kritikan bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak merdeka sepenuhnya
kerana masih bergantung kepada kerajaan Inggeris walaupun telah merdeka.
2.
Kesan Ekonomi
(a)
Kerajaan juga terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk untuk
membendung komunis. Kerajaan membelanjakan sebanyak $250 000 hingga $300 000
setiap hari bagi tujuan keselamatan untuk menghapuskan komunis. Sepanjang
tempoh pengisytiharan darurat kerajaan membelanjakan sebanyak $136.2 juta untuk
pertahanan dan sebanyak $721.9 juta untuk memperlengkapkan pasukan keselamatan.
Jumlah ini belum diambil kira peruntukkan kerajaan untuk membangunkan
kampung-kampung baru di bawah Rancangan Briggs. Perbelanjaan yang besar ini
telah menimbulkan beban kewangan kepada kerajaan iaitu sehingga tahun 1953,
Tanah Melayu mengalami defisit belanjawan sebanyak $1.46 juta. Kedudukan
kewangan yang terbatas ini telah menyukarkan kerajaan untuk membangunkan semula
ekonomi Tanah Melayu.
(b)
Pengganas komunis telah bertindak merosakkan landasan kereta api, jalan
raya, lombong bijih timah, menyerang kenderaan awam dan menetak beribu-ribu
batang pokok getah. Sabotaj yang dilakukan oleh komunis ini bertujuan untuk
melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Akibat tindakan komunis ini, kerajaan telah
mengisytiharkan darurat dengan mengadakan sekatan jalan raya dan perintah
berkurung yang sering kali menganggu kelicinan urusan perdagangan Tanah Melayu.
Keadaan politik Tanah Melayu yang bergolak ini menyebabkan pelabur-pelabur
tidak berani melabur modal di Tanah Melayu.
(c)
Usaha-usaha membanteras darurat yang dijalankan oleh kerajaan British
telah meninggalkan kesan yang teruk terhadap ekonomi Tanah Melayu. Rakyat hidup
tertekan kerana tidak dapat menjalankan kegiatan ekonomi yang disebabkan
undang-undang darurat. Rakyat menderita dan sengsara akibat keganasan komunis
sepanjang darurat. Ladang, lombong dan balai polis menjadi sasaran serangan
komunis, disamping terdapatnya serangan ke atas pegawai keselamatan dan orang
awam. Kerajaan pula terpaksa menumpukan usaha membanteras pengganas komunis,
keadaan ini menyebabkan pengeluaran hasil bumi dan eksport Tanah Melayu
terjejas.
(d)
Di bawah Rancangan Briggs, kerajaan telah memindahkan penduduk-penduduk
Cina yang tinggal di kawasan luar bandar dan pinggir hutan ke kampung-kampung
baru. Kampung baru ini dilengkapi dengan semua kemudahan, dipagari dan dikawal
rapi. Dianggarkan seramai satu hingga
dua juta orang dipindahkan di bawah Rancangan Briggs. Kerajaan juga telah
membelanjakan sebanyak $7 juta pada tahun 1950 dan meningkat kepada $155 juta
pada tahun 1954. Peruntukan ini telah menjadi beban kepada kerajaan kerana
ekonomi Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua berada di dalam keadaan muflis.
(e)
Kerajaan telah menubuhkan Rural Industri Development Authority (RIDA)
pada tahun 1950 yang bertujuan memajukan ekonomi dan pendidikan masyarakat luar
bandar khususnya orang Melayu dan sebagai memenuhi tuntutan mengimbangi
penubuhan kampung baru untuk orang Cina.
3.
Kesan Sosial
(a)
Kempen memerangi komunis dijalankan selama 12 tahun (1948-1960) yang
menyaksikan rakyat hidup menderita keganasan komunis. Pelaksanaan undang-undang
darurat seperti perintah berkurung amat menyusahkan hidup rakyat kerana tidak
dapat menjalankan pekerjaan dan aktiviti harian mereka. Bekalan beras
berkurangan kerana semakin banyak sawah
ditinggalkan oleh petani tanpa diusahakan. Begitu juga dengan padi huma
dan kerja-kerja ladang yang lain seperti jagung, ubi dan pisang turut tidak
dikerjakan bagi menambah bahan makanan. Kekurangan makanan ini telah
menyebabkan kerajaan bertindak mencatukan
makanan dan catuan yang dikenakan ini menyebabkan rakyat terpaksa
bergantung kepada ubi kayu dan keledek sama seperti dialami semasa zaman Jepun.
Walaupun catuan makanan ini berjaya menyekat bekalan makanan daripada sampai
kepada komunis, namum rakyat hidup menderita akibat kekurangan makanan.
(b)
Melalui undang-undang darurat, kerajaan boleh menahan sesiapa sahaja
yang dianggap mengancam keselamatan negara atau disyaki bersubahat dengan
komunis tanpa perlu dibicara di mahkamah. Orang ramai tidak dibenarkan
berkumpul melebihi 5 orang di tempat terbuka tanpa mendapat kebenaran polis.
Sesiapa yang membawa atau menyimpan senjata api tanpa permit boleh dihukum bunuh.
Ramai penduduk terutama orang Cina ditangkap dan dipenjarakan, sebahagian
daripada mereka dihantar pulang ke negara China.
(c)
Masalah perkauman antara orang Melayu dan orang Cina menjadi semakin
serius. Orang Melayu menganggap semua orang Cina adalah komunis dan orang
Melayu telah menyertai pasukan keselamatan untuk membanteras komunis. Oleh itu,
tindakan memerangi komunis semasa darurat seolah-olah dilihat sebagai
peperangan antara orang Melayu dengan orang Cina. Masalah perkauman yang
tercetus ini telah memberi kesan penting ke atas kedudukan sosiopolitik di
Tanah Melayu.
(d)
Ketegangan hubungan antara kaum Melayu dan Cina telah mendorong
pemimpin-pemimpin seperti Dato’ Onn Jaafar, Dato’ E.E.C. Thuraisingham dan
Datuk Tan Cheng Lock berusaha untuk meredakan ketegangan kaum dengan menubuhkan
Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (JPAK) pada tahun 1949. Jawatankuasa ini
diketuai oleh Dato’ E.E.C. Thuraisingham yang bertujuan untuk menjalin hubungan
yang lebih baik antara penduduk yang berbilang kaum di Tanah Melayu.
(e)
Untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu terutamanya orang Cina
bagi membanteras komunis, kerajaan telah melancarkan kempen “Memenangi Hati dan
Fikiran Rakyat” dan melonggarkan syarat-syarat untuk mendapat kerakyatan Tanah
Melayu pada tahun 1952. MCA dijadikan juru bicara kaum Cina dengan kerajaan.
Langkah ini membolehkan seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 000 orang India
menjadi warganegara Tanah Melayu sehingga tahun 1957. Mereka juga diberi hak
untuk memiliki tanah dan menikmati kemudahan pelajaran dan kesihatan di kawasan
kampong-kampung baru. Dengan cara ini, kerajaan dapat memenangi hati dan
fikiran orang Cina agar menyokong kerajaan.
(f)
Dasar Pelajaran Kebangsaan Tanah Melayu digubal untuk mewujudkan
perpaduan dan persefahaman antara kaum Melayu, Cina dan India. Dasar Pelajaran
Kebangsaan yang digubal berasaskan Penyata Pelajaran Razak 1956, menetapkan
kandungan sukatan pelajaran semua jenis sekolah mestilah berteraskan hal ehwal
Tanah Melayu, Bahasa Melayu dijadikan bahasa penghantar utama di semua sekolah
untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum
di Tanah Melayu. Kerajaan merasakan perlunya kanak-kanak di Tanah Melayu
dididik dengan ilmu pengetahuan yang boleh memupuk semangat cinta dan taat
setia kepada tanah air.
(g)
Penubuhan Rancangan Briggs menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan
kependudukan kaum iaitu 86% penduduknya terdiri daripada orang Cina, 9% orang
Melayu dan 4% orang India. Perubahan ini telah menyebabkan orang Cina tertumpu
di kawasan bandar manakala orang Melayu kekal di kampung tanpa kemudahan moden
seperti di kampung baru.
Sumber : http://cikgustpm.blogspot.com/2012/06/kesan-kesan-pengisytiharan-darurat-di.html
No comments:
Post a Comment